Khasiat Pokok Dukung Anak



Nama Saintifik: Phyllanthus Niruri
Famili: Eurphorbiaceae
Nama Biasa: Dukung Anak
Nama lain: Kelek anak, meniran(indonesia),Bhuaionla, kiranelligida(india)
Lokasi dijumpai: Di tepi longkang dan di kawasan pertanian

Keterangan
Dikenali dengan nama meniran bagi masyarakat indonesia , tumbuhan ini termasuk dalam keluarga Eurphorbiaceae. Selalunya tumbuh di kawasan yang tanahnya agak keras, seperti di celah retakan simen. Juga boleh didapati di kawasan kebun-kebun sayur dan tanah terbiar. Daun pokok ini adalah dari jenis majmuk bipinat, daunnya kecil berwarna hijau yang agak gelap dan tersusun berselang seli dengan jarak lebih kurang 6-10mm. Ia adalah herba tahunan(annual) dengan ketinggian lebih kurang 30-60 cm. Ia mempunyai bunga yang berwarna putih kekuningan dan satu tangkai bunga mempunyai bunga-bunga kecil yang banyak . Terdapat dua jenis bunga iaitu bunga jantan dan betina. Kapsul bijinya sangat kecil, berpermukaan licin dan dari jenis 3-gonous. Kitaran dari satu biji ke biji yang berikutnya adalah 2 hingga 4 minggu. Dukung anak tumbuh di kawasan yang beriklim tropika seperti Malaysia, Indonesia,Thailand. Juga terdapat di China, India dan dalam kawasan antara Filipina dan cuba. Di kebanyakan tempat ia mendatangkan masalah kepada petani kerana selalunya tumbuh di kawasan pertanian dan dianggap rumpai yang sukar dikawal.

Kegunaan
Akar, daun, buah, jus dan keseluruhan tumbuhan ini mempunyai nilai perubatan. Perubatan ayurveda ia digunakan sebagai penghilang dahaga, bronchitis, kusta, anemia, penyakit kelenjar kencing, anuria dan asma. Boleh juga digunakan untuk mengubat penyakit berak berdarah (dysentery) yang kronik (mengikut kaedah perubatan unani dari India). Buahnya digunakan untuk mengubati luka, kerengsaan, penyakit kudis buta (scabies) dan kurap. Akarnya pula (yang masih segar) adalah penawar yang berkesan untuk penyakit kuning (jaundice) terutamanya pada bayi yang baru lahir. Daun yang telah dilumatkan dan dicampur dengan sedikit garam dapur boleh merawat jangkitan kudis buta(scabies). Jika tidak dicampur garam ia boleh ditampal pada luka dan lebam. Ia juga boleh digunakan untuk merawat bisa gigitan ular. Tumbuhan ini juga boleh digunakan sebagai tuba(racun) ikan. Kaedah perubatan ayurveda banyak menggunakan tumbuhan ini samaada dalam bentuk tumbuhan ini dikeringkan dan dijadikan serbuk atau terus menggunakan tumbuhan ini dalam bentuk tumbuhan segar. Walaupun masih sukar untuk menentukan apakah kandungan dalam tumbuhan ini yang menyebabkan ia mempunyai nilai perubatan yang tinggi, ada kajian yang menunjukkan ia memberikan kesan positif untuk mengubati penyakit hepaptitis B, dalam satu kajian, didapati 22 daripada 37, iaitu sebanyak 59% dari pembawa virus hepatitis B yang dirawat dengan persediaan herba dari tumbuhan ini selama sebulan telah kehilangan antigen hepatitis B setelah di uji selepas 15 hingga 20 hari selepas rawatan selesai. Jika menggunakan rawatan biasa hanya 4% dari pembawa akan kehilangan antigen untuk tempoh yang sama. Persediaan herba ini hendaklah di amalkan selama sebulan atau lebih untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Jika digunakan secara biasa, tiada kesan sampingan didapati setakat ini. Namun anda dinasihatkan mendapatkan pandangan doktor sebelum memulakan rawatan. Walaupun ia membantu mengurangkan jumlah virus hepaptitis B yang dijumpai didalam darah, ia masih tidak dapat menghilangkan kesemuanya, jadi ia bukanlah penawar kepada penyakit ini, namun mengambilannya dapat mengurangkan dan mengawal pertumbuhan dan pertambahan virus hepatitis B. Kajian lanjut masih dijalankan oleh para saintis mengenai kegunaan dukung anak untuk merawat hepatitis B.

0 comments: